Portal eGUMIS: Memudahkan Semakan Wang Tak Dituntut (WTD) secara Dalam Talian

Last Updated on March 18, 2024 by admin

Portal eGUMIS telah diperkenalkan bagi memudahkan individu dan syarikat membuat semakan Wang Tak Dituntut (WTD) secara atas talian. Melalui portal ini, semakan boleh dilakukan menggunakan nombor kad pengenalan individu atau nombor pendaftaran syarikat. Mari kita ketahui lebih lanjut tentang eGUMIS dan cara membuat semakan WTD anda secara atas talian. Jika anda ingin mengetahui adakah anda mempunyai wang yang tidak dituntut. Anda boleh buat semakan secara online di https://egumis.anm.gov.my/login

Apa Itu Wang Tak Dituntut (WTD)?

WTD merujuk kepada sejumlah wang milik individu atau syarikat yang tidak dituntut dalam tempoh yang telah ditetapkan. Ini boleh termasuk dalam bentuk simpanan, dividen, tuntutan insurans, bank draf, dan sebagainya. Menariknya, sehingga Mac 2023, Jabatan Akauntan Negara Malaysia telah menerima sebanyak RM11 bilion wang yang tidak dituntut. Ini menunjukkan betapa pentingnya kesedaran mengenai WTD dalam kalangan masyarakat.

Fungsi Portal eGUMIS

Portal eGUMIS menyediakan beberapa kemudahan, antaranya:

  • Membuat bayaran serahan WTD melalui FPX.
  • Memuatnaik Daftar WTD yang telah dienkripsi secara atas talian.
  • Menyemak status serahan WTD yang dikemukakan secara atas talian.
  • Memuat turun resit serahan WTD.
  • Memuat turun surat kuiri serahan WTD.
  • Mengemaskini rekod syarikat/firma yang pernah didaftarkan dalam sistem Pendaftar WTD.

Cara Semakan Wang Tak Dituntut Online Melalui Portal eGumis

Untuk membuat semakan WTD secara dalam talian melalui portal eGUMIS, ikuti langkah-langkah mudah berikut:

  1. Layari portal eGUMIS.
  2. Daftar sebagai pengguna secara dalam talian. Kata laluan sementara akan dihantar melalui emel untuk log masuk ke portal.
  3. Log masuk ke portal menggunakan kata laluan sementara yang diterima melalui emel. Kemudian, tukar kata laluan tersebut.
  4. Kemaskini maklumat pengguna jika perlu.
  5. Klik pada “KLIK DI SINI UNTUK CARIAN WANG TAK DITUNTUT” untuk membuat semakan WTD melalui nombor kad pengenalan individu atau nombor pendaftaran syarikat, dan cetak maklumat WTD tersebut jika ada.

Proses Tuntutan Wang Tak Dituntut

Jika terdapat jumlah WTD yang anda layak tuntut, anda boleh membuat permohonan untuk dimasukkan ke dalam akaun bank anda yang terkini. Permohonan tuntutan WTD layak untuk pihak-pihak seperti pemilik WTD sendiri, pentadbir harta pusaka, pelikuidasi syarikat, individu yang dinamakan dalam Perintah Mahkamah, atau agensi seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau Jabatan Insolvensi Malaysia.

Selepas membuat tuntutan, wang anda akan diproses dan biasanya mengambil masa lebih kurang satu bulan untuk dikreditkan ke akaun bank yang dinyatakan dalam borang tuntutan.

Bagi maklumat lanjut mengenai proses tuntutan WTD, sila rujuk garis panduan yang disediakan.

Jelasnya, eGUMIS adalah satu inisiatif yang memudahkan individu dan syarikat untuk membuat semakan dan tuntutan WTD secara atas talian. Langkah ini penting untuk memastikan wang yang tidak dituntut dapat dikembalikan kepada pemilik yang sah. Dengan akses mudah melalui portal eGUMIS, diharapkan kesedaran mengenai WTD dapat ditingkatkan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Soalan Lazim:

1. Siapakah yang berhak menerima bayaran Wang Tak Dituntut (WTD)?

Menurut Seksyen 13(1) Akta WTD 1965, bayaran WTD hendaklah dibayar kepada mana-mana penerima yang dapat membuktikan bahawa beliau mempunyai hak ke atas WTD dan apabila Pegawai WTD berpuas hati bahawa penerima ialah empunya yang berhak.

2. Adakah Pendaftar menetapkan had tempoh masa untuk memohon tuntutan Wang Tak Dituntut (WTD)?

Tiada tempoh masa yang ditetapkan. WTD yang diserahkan kepada Pendaftar boleh dituntut pada bila-bila masa oleh pihak yang mempunyai hak ke atas wang tersebut.

3. Adakah Pendaftar menetapkan had minima amaun yang boleh dituntut?

Tiada had minima amaun yang boleh dituntut.

4. Adakah sebarang caj dikenakan bagi setiap permohonan tuntutan Wang Tak Dituntut (WTD)?

Tiada sebarang caj dikenakan untuk permohonan tuntutan WTD yang dikemukakan kepada Pendaftar.

5. Adakah faedah akan dibayar ke atas Wang Tak Dituntut (WTD) yang disimpan oleh Pendaftar?

Tiada faedah yang akan dibayar. Menurut Seksyen 11(3) Akta WTD 1965, amaun bayaran adalah berdasarkan amaun di dalam Daftar WTD yang diterima daripada syarikat/firma tanpa apa-apa faedah.

6. Adakah Pendaftar melantik syarikat/firma atau individu sebagai ejen dalam menguruskan permohonan tuntutan Wang Tak Dituntut (WTD)?

Kementerian Kewangan Malaysia atau Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) tidak pernah melantik mana-mana syarikat/firma atau individu sebagai ejen dalam menguruskan permohonan tuntutan Wang Tak Dituntut (WTD).

7. Bagaimanakah pihak ketiga atau ejen boleh mendapatkan maklumat Wang Tak Dituntut(WTD)?

Mengikut perundangan Seksyen 10A Akta WTD, serahan WTD oleh syarikat/firma akan diwartakan. Pihak Pendaftar akan mengemukakan rekod serahan kepada Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) untuk proses pewartaan. Setelah diwartakan, rekod tersebut terbuka kepada pemakluman awam. Dokumen warta juga dijual kepada pihak awam oleh PNMB selain dihantar ke Perpustakaan Negara Malaysia untuk rujukan orang awam. Sehubungan dengan itu, berdasarkan oleh maklumat warta ini, terdapat pihak yang menggunakannya untuk bertindak sebagai ejen. Pendaftar dan Kementerian Kewangan tidak pernah melantik ejen bagi menguruskan WTD.

Pendaftar tidak mempunyai maklumat empunya selain daripada yang telah diwartakan. Sehubungan dengan itu, empunya perlu mengemukakan permohonan tuntutan kepada Pendaftar melalui kaunter, pos berdaftar atau portal eGUMIS. Sebarang maklumat peribadi yang diperoleh oleh pihak ejen seperti nombor telefon, emel dan sebagainya, berkemungkinan diperoleh daripada pihak lain yang tidak bertanggungjawab. Sebarang salahguna maklumat peribadi hendaklah merujuk semula kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

8. Apakah yang dimaksudkan dengan proses pewartaan Wang Tak Dituntut (WTD)

Seksyen 10A (1) Akta WTD 1965 menyatakan syarikat/firma dikehendaki mengemukakan Daftar UMA3 kepada Pendaftar bagi tujuan pewartaan oleh Percetakan Nasional Berhad. Pewartaan adalah proses rekod WTD digazetkan dan disimpan di Perpustakaan Negara bagi pemakluman umum.

9. Adakah semua rekod Wang Tak Dituntut (WTD) boleh dibuat semakan dan tuntutan di Portal eGUMIS?

Hanya rekod WTD yang telah diwartakan boleh dibuat semakan dan tuntutan.