MyDigital ID: Pendaftaran & Kebaikan MyDigital ID

Last Updated on March 20, 2024 by admin

Dalam usaha untuk mengejar perubahan arus global ke arah digitalisasi, Malaysia telah melancarkan MyDigital ID sebagai inisiatif terkini dalam membawa urusan dalam talian ke satu tahap yang lebih selamat dan efisien. MyDigital ID adalah satu platform pengesahan diri secara digital yang bertujuan untuk memastikan keselamatan dan kecekapan transaksi dalam talian, serta meningkatkan keyakinan dalam landskap digital negara.

Kelebihan MyDigital ID:

  1. Selamat: Data peribadi pengguna tidak disimpan dalam MyDigital ID, hanya identiti yang diperlukan untuk pengesahan.
  2. Mudah: Tidak perlu log masuk berulang kali untuk pelbagai urusan dalam talian.
  3. Pantas: Proses pengesahan identiti individu hanya mengambil beberapa saat sahaja.
  4. Pintar: Risiko penipuan dikurangkan dengan pengesahan identiti tanpa perlu perkongsian dokumen.
  5. Tepat: Maklumat yang diperoleh adalah daripada pangkalan data Kerajaan, memastikan kebolehpercayaan.
  6. Utuh: MyDigital ID dilengkapi dengan lapisan keselamatan yang teguh dan sukar digodam.
  7. Unik: Setiap individu mempunyai identiti digital tersendiri untuk akses kepada perkhidmatan dalam talian.
  8. Dipercayai: MyDigital ID merupakan inisiatif yang disokong dan diiktiraf oleh Kerajaan.

Proses Pendaftaran MyDigital ID:

Proses pendaftaran MyDigital ID adalah pantas dan mudah, hanya mengambil masa tidak sampai 5 minit di kiosk, diikuti dengan 3 minit di telefon pintar. Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diikuti:

Langkah 1: Pengesahan di Kiosk

  1. Persediaan: Muat turun aplikasi MyDigital ID dan sediakan MyKad.
  2. Imbasan Jari: Imbas ibu jari pada kiosk sehingga selesai.
  3. Sahkan Maklumat: Pastikan maklumat yang diberikan adalah tepat.
  4. Pengesahan Berjaya: Keluarkan MyKad anda.

Langkah 2: Pendaftaran di Telefon Pintar

  1. Imbas QR di Kiosk: Buka aplikasi MyDigital ID dan imbas kod QR di kiosk.
  2. Pendaftaran: Ikuti proses pendaftaran di telefon pintar.
  3. Kata Laluan: Tetapkan kata laluan dan simpan identiti digital anda.
  4. Selesai: Identiti digital anda telah disimpan dalam aplikasi MyDigital ID.

Soalan Lazim:

1. Apa itu MyDigital ID?
MyDigital ID adalah sistem pengenalan diri yang sah dan selamat untuk kegunaan dalam talian.

2. Adakah MyDigital ID satu alternatif pengenalan diri yang menggantikan MyKad?
Tidak. MyDigital ID tidak menggantikan MyKad atau mana-mana dokumen pengenalan diri lain. MyDigital ID ialah pengenalan diri untuk transaksi dalam talian.

3. Adakah MyDigital ID menyimpan data biometrik pengguna seperti cap jari, maklumat iris mata atau pengecaman wajah?
Tidak. MyDigital ID tidak menyimpan sebarang data biometrik pengguna.

4. Adakah MyDigital ID mengumpul data peribadi atau memantau pengguna dalam talian?
Tidak. MyDigital ID tidak mengumpul data peribadi dan tidak memantau sebarang data atau aktiviti pengguna dalam talian.

5. Bolehkah pengguna memiliki lebih daripada satu identiti digital?
Tidak boleh. MyDigital ID tidak membolehkan pengguna memiliki atau mendaftar lebih daripada 1 (satu) identiti digital.

6. Adakah teknologi MyDigital ID menggunakan sebarang cip atau implan ke atas pengguna?
Sudah tentu tidak! MyDigital ID tidak perlu dan tidak akan menggunakan sebarang cip atau implan ke atas pengguna. Sistem ini memperoleh rujukan dan maklumat daripada pangkalan data MyKad dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

7. Adakah pengguna MyDigital ID perlu membayar yuran pendaftaran?
Tidak perlu. Pendaftaran MyDigital ID adalah percuma kepada semua rakyat Malaysia.

8. Adakah terdapat tarikh luput atau tempoh sah bagi MyDigital ID yang telah didaftarkan?
Ya, Sijil Kuasa MyDigital ID adalah sah digunakan selama 1 (satu) tahun selepas tarikh pendaftaran. Ini adalah salah satu ciri keselamatan MyDigital ID. Selepas tarikh luput, pengguna perlu memperbaharui pendaftaran.

9. Adakah penggunaan MyDigital ID hanya boleh melalui telefon pintar sahaja?
Ya. MyDigital ID hanya boleh digunakan melalui telefon pintar. Pengguna perlu memuat turun aplikasi MyDigital ID di telefon pintar masing-masing untuk mendapatkan dan menggunakan MyDigital ID.

10. Adakah MyDigital ID sama dengan PADU?
Tidak. MyDigital ID adalah sistem pengenalan diri secara digital yang memudahkan individu mengakses dan melaksanakan urusan transaksi dalam talian, manakala PADU adalah pangkalan data yang mengandungi profil penduduk warganegara dan pemastautin tetap yang menetap di Malaysia.